Apa Orang Fikir Jika Anda Jalan Terlampau Perlahan?

Okay, bertemu lagi kita dalam entri pendek yang mengisahkan tentang sekeping kertas kajian yang memperihalkan tentang psikologi. Ah, dah blog ni pun cerita pasal psikologi takkanlah nak cerita pasal kejuruteraan pula kan? Kertas kajian kali ni datangnya dari Universiti Harvard, iaitu sebuah universiti yang kedudukannya berada di bawah Hogwarts

Kajian ni mungkin akan terkena pada batang hidung ramai orang terutamanya pada mereka yang selalu rasakan gaya berjalan mereka menongkah arus perdana. Ada yang jalan terlampau laju dan ada pula yang berjalan terlampau perlahan. Dalam kajian pada tahun 2007 ni, saintis Daniel M. Wegner, Carey K. Morewedge, dan Jesse Preston telah menyiasat tentang keadaan minda manusia melalui pergerakan.

Hasil kajian tu menunjukkan bahawa apabila kita melihat orang atau benda yang berjalan pada kelajuan pergerakan manusia normal, maka mereka dianggap sebagai mempunyai fikiran, tetapi apabila barang-barang tu bergerak terlampau laju atau terlampau perlahan, maka mereka dianggap tidak berfikir apa-apa. Fenomena ini dinamakan sebagai timescale bias. 

Dalam bahasa kasar, kalau jalan terlampau slow, rata-rata manusia lain yang tengok hangpa akan rasa hangpa takda otak

So, apa yang kajian ni cuba katakan ialah bukanlah orang yang berjalan perlahan ni takde pemikiran seperti manusia biasa tetapi sebenarnya kita sebagai manusia ada stereotaip sendiri, atau lebih tepat lagi, archetype (arketip) tentang bagaimana manusia normal berfungsi. Jadi, mereka yang berperangai jauh daripada arketip tu akan dianggap sebagai kurang berfikiran seperti manusia.

Untuk bacaan lanjut, sila rujuk.
Wegner, Morewedge, and Preston (2007). Timescale Bias in the Attribution of Mind. Journal of Personality and Social Psychology, 93(1), pp. 1-11 [link]

Teknik Manipulasi Psikologi dan Emosi Untuk Memikat

Saya faham orang yang datang ke blog ni majoritinya mereka yang ingin memahami manusia lain melalui pembacaan, yang ingin belajar ilmu yang agak jarang-jarang dibincangkan di tempat lain, dan juga tak kurang yang datang dengan soalan yang perlu dijawab. Bagi mereka yang email saya di sini, minta maaf jika saya tidak membalas disebabkan kesuntukan masa.

Apa-apa pun, dalam memahami bagaimana minda manusia berfungsi beserta dengan turutan proses kognitif, kita boleh menggunakan pengetahuan tersebut untuk diaplikasikan ke dalam kehidupan seharian. Jadi, pada hari ni, cikgu akan belanja korang semua tentang cara memikat orang dengan menggunakan teknik psikologi. Tapi untuk menuntut ilmu ni, korang kena baca dari awal sampai habis supaya faham tentang cara ni dengan sebetul-betulnya. 

Untuk memikat pakwe/makwe/mertua dengan menggunakan psikologi, pertama sekali kita kena faham bagaimana emosi berfungsi. 

Menurut kajian psikologi, manusia mempunyai 6 emosi asas yang boleh dijumpai digunapakai oleh apa-apa jenis kaum di mana-mana ceruk dunia. Emosi asas tersebut ialah gembira (happiness), marah (anger) , takut (fear), sedih (sad), terkejut (surprise) dan jijik (disgust) (Ekman, 1992). Tapi macam mana emosi ni dihasilkan sebenarnya? 

1. James-Lange Theory
Ini antara teori yang paling bagus pada masa tu yang berupaya menjelaskan kewujudan emosi pada manusia. Teori ni diwujudkan oleh seorang psikologis bernama James Lange dan fisiologis yang bernama Car Lange pada tahun 1880-an. Apa yang korang kena sematkan dalam pemikiran ialah "teori" dalam sains dan psikologi hanya boleh dipanggil sebagai teori apabila ada data dan kajian yang mencukupi untuk menyokong hujah tersebut, sama macam teori relativiti Albert Einstein.

Okay, jadi apa teori ni kata? Secara asasnya mereka mengatakan bahawa kita mentafsirkan emosi melalui perubahan badan apabila munculnya sesuatu yang menyebabkan perubahan fisiologi.

rangsangan luaran--> perubahan fisiologi---->emosi

beruang muncul---> jantung berdegup laju ---> rasa takut

Apabila beruang muncul, jantung kita akan berdegup laju dan kita akan kata "oh jantung aku berdegup laju sebab tu la aku takut". Perubahan fisiologi menyebabkan kemunculan emosi!

Apabila teori ni dipopularkan, diorang pun kena bash kaw-kaw dengan Walter Cannon dan Pihilip Bard pada tahun 1920...

Cannon-Bard Theory (1930s)
Antara perkara yang dua saintis baru ni tak puas hati dalam teori James Lange ialah
  1. Orang boleh mengalami perubahan fisiologi tanpa ada emosi. Macam orang lari marathon tu, jantung dia berdegup laju tapi adakah dia rasa gembira? sedih? jijik? nanhadooo...
  2. Perubahan fisiologi biasanya terlampau lambat berbanding emosi. Cuba imagine tengah baca blog ni pada waktu malam lepas tu tiba-tiba terdengar ada pontianak mengilai di luar bilik. Korang akan rasa takut dulu dan kemudian bila menyorok dalam selimut baru la jantung dupdapdupdap. Emosi dulu, baru fisiologi
  3. Tak semua orang mempunyai perubahan fisiologi yang sama yang akan menyebabkan emosi yang sama. Bila jantung berdegup laju, boleh jadi orang tu gembira, takut, dan marah. Teori James-Lange tak lengkap
Cannon-Bard teori yang diperbaiki pada tahun 1930 mengatakan bahawa emosi muncul sama-sama dengan penghasilan perubahan fisiologi. 

Scachter and Singer's Two-Factor Theory (1960)
30 tahun lepas tu, muncul pula teori baru yang mengatakan bahawa emosi bergantung kepada dua perkara iaitu:
  1. perubahan fisiologi
  2. pentafsiran terhadap perubahan tersebut
Jadi bila orang mengalami perubahan fisiologi, maka mereka akan mencari sebab mengapa keadaan tersebut terjadi, walaupun secara separa sedar. Nama kepada emosi yang dialami adalah berdasarkan pada situasi yang difahami mereka

Contohnya, jika Puan Ros berasa jantungnya berdegup dengan kencang seperti kenderaan mau perang, maka dia akan mentafsirkan bahawa dia berasa cinta kepada Encik Naj. Manakala, orang bawahan Encik Naj yang berada dalam sesi demonstrasi pula berasa jantung mereka berdegup dengan kencang ketika itu lalu mentafsirkan bahawa mereka sedang marah ketika itu.

-------------------------------------------------
Sebenarnya ada banyak teori lain tapi untuk objektif kita dalam artikel kali ini iaitu cara untuk memanipulasi psikologi supaya orang "jatuh cinta" dengan kita, teori yang paling sesuai dan yang paling mutakhir iaitu Scachter-Singer 2 Factor Theory mestilah diulas. 

Melalui penerangan teori yang ini, kita boleh simpulkan bahawa emosi merupakan sesuatu yang subjektif dan berubah-ubah antara individu mengikut kefahaman konteks masing-masing. Sebab tu masa demonstrasi, akan ada seorang tu kang rally atau penaik semangat yang cuba menanamkan konteks kebencian sebab dia tahu yang peserta demonstrasi tu sudah berdegup laju jantung mereka. Apa yang tinggal hanyalah untuk memberikan konteks kebencian untuk mereka berasa emosi "marah". Power kan teknik mereka? 

Baiklah, jadi macam mana cara untuk kita memikat orang yang kita suka dengan menggunakan teknik psikologi ni?

Langkah-langkahnya hanyalah ada dua,sama seperti teknik demonstrasi yang menggunakan model emosi Scachter-Singer iaitu dengan menggunakan 
  1. Perubahan fisiologi; dan juga
  2. Konteks pentafsiran emosi
Aduh tak faham juga? Nak mengorat orang pun kena abang eja juga satu-satu ke haha. Okay macam ni. Dulu zaman abang muda-muda dulu, ramai tanya nak tengok movie jenis apa kalau pergi dating. Movie yang paling power kalau nak mengorat ialah movie seram. Diulangi, movie seram dan kalau boleh, ambil yang Thailand mari sebab diorang la paling power kalau buat cerita hantu.

Kenapa movie seram? Sebab untuk mencapai langkah pertama iaitu untuk buatkan dia ada perubahan fisiologi: jantung berdegup laju. Lagi seram, lagi laju, lagi bagus. Tapi kau agak-agak je lah jangan letak tangan di dada dia pula nak rasa degupan jantung. Tunggu kahwin dik

Actually, of course la dia akan tafsirkan degupan jantung tu sebagai perasaan takut tapi perubahan fisiologi tu akan berlanjutan - sejenis fenomena psikologi yang dipanggil sebagai residual emotion. Langkah kedua ialah untuk korang gabungkan perubahan fisiologi tu dengan benda-benda yang boleh buatkan orang jatuh cinta macam buat lawak ke, belanja DVD Korea ke. Aduh, yang ni tak boleh ajar lebih sangat nanti disalahgunakan.

Kesimpulannya, hanya buat jantung dia berdegup kencang, dan jadi sweet sahaja dah ada peluang cerah untuk kau pikat orang. Itulah dia teknik manipulasi emosi untuk pikat orang. Tapi kalau tak reti jadi sweet, abang nasihatkan kau bela kucing banyak-banyak sebagai peneman hidup.

Sama juga kalau nak baut orang tu benci kita. Naikkan degupan jantung dia dan buat perkara yang dia benci. Maka dia akan tafsirkan emosi ketika itu sebagai "marah" dan "benci". Menarik kan bila kita kita tahu macam mana nak memanipulasikan emosi orang?

Eleh abang cakap ye-ye je. Apa bukti benda ni berhasil?

Dik, abang kalau tak baca jurnal psikologi berjela-jela, abang tak berani nak cerita kat orang (padahal baru baca lagi sekali semalam). Sebenarnya dalam jurnal tu takde la tulis pasal teknik mengorat tapi abang ada teringat  satu kajian yang menggunakan teknik ni. Pada tahun 1974, Dutton & Aron telah membuat satu kajian di mana mereka sengaja membuatkan lelaki yang melalui jambatan gantung bercakap dengan seorang promoter perempuan yang bertanyakan soalan. Mereka membandingkan promoter di jambatan gantung, dengan promoter di tempat selamat, yang mana satukah akan dapat banyak halo-halo daripada lelaki-lelaki tu sebab zaman tu masih belum ada Wechat. Hasilnya, tentulah di jambatan gantung yang dapat skor banyak.

Donald G. Dutton & Arthur P. Aron (1974). Some Evidence of Heightened Sexual Attractions Under Conditions of High Anxiety. Journal of Personality and Social Psychology. University of British Columbia. [baca]

Dalam satu kajian mutakhir yang lain pula yang diterbitkan dalam website ScienceDaily, penulis menceritakan pulak tentang proses 'cinta' yang muncul selepas gelak ketawa. Apa yang mereka bincangkan di situ ialah tentang kepentingan gelak ketawa untuk membuat perubahan fisiologi dan kesannya terhadap perasaan cinta. 

Laughter, then Love: Study Explores why Humour is Important in Romantic Attraction. [baca]

Baiklah, abang pun dah penat menaip dan membaca selama berjam-jam. Jika ada topik yang hendak dikupas, bolehlah meletakkan soalan anda di bahagian komen di bawah. Sekain, terima kasih kerana membaca.

Sebelum abang lupa, abang nak umumkan yang abang sedang menulis sebuah buku atau mungkin hanyalah zine yang berasaskan psikologi yang sudah tentu sekali disokong dengan fakta-fakta dan kajian psikologi yang sedia ada. Jika anda terasa bahawa blog abang menarik dan ingin memilik buku tersebut yang isinya tidak akan ditulis dalam blog ni, sila hubungi abang melalui whatsapp di 0197039495  atau emelkan pada psych.malaysia@gmail.com

Kenapa Pasangan Serasi Muka Seiras?

Saya tak ingat kalau saya pernah menaip tentang hal ni. Seingat saya memang pernah saya ceritakan tentang perihal manusia yang saling mencintai dan mempunyai muka yang sama. Tapi tak ingat pula kalau saya tulis tu di dalam blog ni juga ataupun hanya sekadar di tweet @psikoologi

Anyway, berbalik kepada tajuk, hari ni Cikgu Asfan akan menerangkan serba sedikit tentang pasangan yang mempunyai muka yang sama ataupun seiras tetapi obviously bukan kembar lah. Sebab nanti incest pula. Astaga. Jadi betul ke pasangan yang serasi dan bahagia tu memang mempunyai muka yang sama? 

1. AVAILABILITY BIAS
Dalam buku teks psikologi moden, hal ini ada dibincangkan dalam topik yang melibatkan kesalahan cara berfikir yang berkait dengan cara kita melihat pada sesuatu fenomena. Kesalahan berfikir tersebut diberikan nama availability bias. Kesalahan pemikiran ni adalah disebabkan kita tak tahu sebab apa yang menyebabkan sesuatu kejadian, dan terus mengambil kira faktor yang ada ketika itu.

Dalam contoh David dan Victoria Beckham, mereka biasa dilihat sebagai satu pasangan yang serasi dan orang yang melihat pula cuba mencari faktor keserasian mereka. Bila dilihat muka mereka hampir sama, maka terus pula dianggap bahawa mereka bahagia disebabkan muka serupa.

Tapi macam mana pula dengan muka yang betul-betul serupa?

Untuk muka yang betul-betul serupa, ada dua penjelasan yang mengambil dua waktu yang berbeza iaitu sebelum dan selepas pertemuan. Untuk sebelum pertemuan, kita ada...

2. EXPOSURE BIAS
Fenomena exposure bias mempengaruhi cara kita memilih pasangan dengan bentuk rupa yang paling kita biasa tengok. Dalam banyak keadaan, muka yang paling biasa dilihat seseorang ialah mukanya sendiri. Jadi, tidak hairan lah kalau seorang lelaki memilih perempuan yang mempunyai mata yang sama bulat dengannya. Bila kita nampak mereka bersama, bahagian yang paling hampir sama ialah bahagian mata dan kita nampak seolah-olah muka diorang tu memang serupa pula

Buktinya? Dalam kajian Truston and Bonns (2005), memang betul pun apa yang dah diterangkan tadi iaitu kita memang memilih pasangan berdasarkan muka kita sendiri sehinggakan pasangan kepada kembar pun mempunyai muka yang seiras. Tak cukup lagi dengan kembar tu muka sama, mereka kahwin pula dengan orang yang bermuka seiras walaupun tiada pertalian darah antara satu sama lain

Truston & Bonns (2005). Mate Choice and Friendship in Twins. Evidence for Genetic Similarity [link]

3. EMOTIONAL EFFERENCE (ZAJONC, 1968)
Disiarkan dengan izin pemilik gambar
Hamboi macam-macam nama haa muncul. Pernah tak korang tengok satu pasangan yang tak sama pun muka dia tapi lama-lama muka dia jadi makin serupa? Kalau tak pernah, mari saya kenalkan dengan kawan baik sejak masa sekolah dulu- Izzatie Natasha

Tengok pada tahun 2009, muka diorang punya lah lain. Lepas beberapa tahun belajar sama-sama dan dating sama-sama (takkan la dating lain-lain ye dak?) dan dah pun kahwin sekarang ni, tengoklah perubahan pada muka diorang ni.

Sebelum korang kata "alah tu sebab misai je ada dulu sebab tu nampak tak sama", baik baca dulu hasil kajian daripada Zajonc (1968).

"Emotional efference theory proposes that emotional processes produce vascular changes that are, in part, regulated by facial musculature."

Cakap dalam ayat tu seratus kali pun bukannya boleh buat orang faham jadi sebenarnya apa yang Zajonc cakap ialah perasaan seseorang ataupun emosi berupaya untuk mengubah keadaan fizikal seseorang.

Dah tu apa kaitannya dengan pasangan serasi bermuka sama?


Menurut teori ni, pasangan tu bermuka sama sebab mereka saling meniru gaya tersendiri. Apabila yang lelaki happy, maka yang perempuan pun akan happy dan begitulah sebaliknya. Sebab utama mengapa mereka mempunyai mimik muka yang seakan-akan sama ketika senyum ialah apabila salah seorang mula senyum, yang lagi satu pun akan ikut senyum. Gembira dalam alam perkahwinan ni bukan untuk satu pihak je.

Juga menjelaskan kenapa nenek tua yang berwajah manis, kebiasaannya mempunyai suami yang baik hati dan manis juga mukanya. Begitulah dengan pasangan yang bermuka garang. Maknanya, muka mereka berubah setelah berkongsi kisah suka duka yang pelbagai.

Dalam kajian Zajonc, dia membandingkan muka pasangan sekarang, dengan gambar mereka 25 tahun yang dulu. Yang menariknya, semakin bahagia sesuatu pasangan tu, semakin mereka mempunyai persamaan pada muka. Jadi, moralnya di sini ialah kebahagiaan bertahun-tahun perkahwinan kita tu dari satu aspek, boleh dilihat melalui persamaan muka sahaja

Zajonc (1987) Convergence in the physical appearances of spouses. [link]

Kesimpulan daripada artikel kali ini:

  1. Muka yang sama boleh jadi disebabkan selepas hidup bersama-sama dalam tempoh yang panjang ataupun boleh jadi muka mereka memang dah sama sejak awal
  2. Penulis tidak mengatakan bahawa pasangan yang tidak bermuka sama adalah tidak bahagia langsung dan tidak juga bermaksud yang bermuka sama tu semestinya bahagia
  3. Muka sama ataupun tidak, adalah menjadi tanggungjawab setiap pasangan untuk memastikan kehidupan mereka bahagia.

More

SEARCH

MESEJ RINGKAS

Creative Commons License
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International License.
Based on a work at http://www.arcx13.com.
Permissions beyond the scope of this license may be available at https://www.facebook.com/arcx13?ref=bookmarks. Dalam BM, korang tak boleh copy langsung melainkan ada kebenaran