BEHAVIORISME DALAM PENDIDIKAN KHAS

Paparan slaid untuk guru pendidikan khas baru JPN Sabah

https://www.dropbox.com/s/zmgixlcrab20mis/BEHAVIORISME%20DALAM%20PENDIDIKAN%20KHAS.pptx?dl=0

HADKAN PENGGUNAAN GAJET PADA KANAK-KANAK

Dalam dunia yang kian berpusatkan IT dan teknologi kini, hampir semua perkara adalah melibatkan media elektronik. Peranti elektronik yang terdiri daripada telefon pintar, tablet, komputer peribadi, dan sebagainya merupakan pemilikan yang semakin mudah dan mampu dimiliki jika dibandingkan dengan 10 tahun yang lepas. Pada tahun 2006 misalnya, sebuah telefon Nokia N-Gage QD yang kebiasaannya digunakan oleh remaja untuk bermain permainan video berformat Java adalah berharga sekitar RM500 namun dengan nilai wang yang sama pada tahun 2017, kita boleh memiliki peranti yang jauh lebih canggih dan mempunyai kefungsian yang lebih pelbagai. Disebabkan hal ini, kita boleh lihat masyarakat daripada pelbagai lapisan umur termasuklah kanak-kanak di bawah umur 3 tahun ada yang sudah terlampau terbiasa dengan penggunaan telefon pintar.

KEBURUKAN PENGGUNAAN GAJET
Walaupun tidak dinafikan bahawa teknologi seperti telefon pintar membawa kebaikan, ia juga diketahui sebagai pembawa keburukan jika penggunaannya tidak dikawal. Kita dapat lihat bahawa terdapatnya budaya penggunaan peranti yang dimulakan terlampau awal bahkan penggunaan peranti itu sendiri dianggap sebagai penyelesaian segera kepada ibu bapa untuk mengawal perlakuan anak mereka. Untuk memburukkanlagi keadaan, ibu bapa yang dinasihati untuk tidak mengamalkan budaya tersebut pula akan membidas bahawa anak mereka akan memperolehi faedah yang jauh lebih tinggi berbanding dengan kesan buruk yang dibawa oleh penggunaan gajet (screen time) yang terlampau tinggi. Gajet yang dimaksudkan dalam konteks ini termasuklah penggunaan televisyen dalam kehidupan seharian.

Prof. Madya Dr. Putri Afzan Maria Zulkifli, dalam penulisannya dalam kolum Wadah ICT di laman web Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan bahawa kanak-kanak yang dibiarkan menonton TV akan mengalami efek negatif pada perkembangan bahasa, skil membaca, dan ingatan memori jangka pendek. Hal ini disokong oleh kajian psikologi oleh Strasburger (1986) yang menunjukkan bahawa TV merosakkan perkembangan kanak-kanak terutamanya dalam keupayaan mereka untuk membaca.  Malah, dalam kajian terkini oleh Ribner et al. (2017) pula mendapati bahawa terdapatnya perkaitan yang besar antara TV dengan kesediaan pelajar untuk berada di sekolah terutamanya untuk mereka yang datangnya daripada keluarga dengan pendapatan rendah. Yang lebih merisaukan adalah kesan-kesan yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak dalam konteks seksual, perlakuan, dan kesihatan (Josephson, 1995; Dietz & Gortmaker, 1985; Strasburger, 1986; Strasburger, 1989) yang jelas dikaitkan dengan penggunaan screen time yang tinggi.



KEBENARAN DI SEBALIK KEBAIKAN GAJET
Benar, memang penggunaan gajet ada kesan baiknya kepada kanak-kanak. Pada asalnya, ibu bapa kini cenderung memberikan gajet kepada anak-anak untuk tujuan pendidikan seperti belajar perkataan baru dan sebagainya. Walau bagaimanapun, Putri Afzan Maria (2015) menyatakan bahawa keburukan menggunakan gajet sebenarnya adalah berpunca daripada perkara yang tidak dilakukan ketika screen time  iaitu interaksi bersama orang yang lebih dewasa. Penyataan ini adalah sokongan kepada kajian oleh Brown (2011) yang menyatakan bahawa pembelajaran melalui interaksi dengan ibu bapa adalah jauh lebih berkesan berbanding dengan menggunakan video pembelajaran sahaja.  Apa yang terjadi ialah anak-anak kecil yang belajar kemahiran bertutur daripada video pembelajaran ataupun kemahiran menyelesaikan masalah puzzle melalui aplikasi permainan video akan menghadapi masalah untuk mempraktikannya di alam sebenar. Benarlah seperti kata-kata orang tua bahawa jika belajar hendaklah berguru. Seeloknya, kanak-kanak yang masih di peringkat bayi hendaklah belajar mengenal alam sekeliling melalui interaksi sosial dengan ibu bapa sendiri.

SARANAN KEPADA IBU BAPA

Seeloknya, ibu bapa perlulah memantau aktiviti yang dijalankan oleh anak-anak sendiri. Disamping bimbingan dan tunjuk ajar semasa pembelajaran ilmiah, ibu bapa mestilah juga mengehadkan screen time mereka. Menurut Akademi Pediatrik Amerika (AAP), jumlah jam screen time maksimum adalah berbeza mengikut umur pengguna :

0 -2 tahun            : 0 jam sehari
2 -5 tahun            : 2 jam sehari
6 tahun dan seterusnya : Dihadkan

Untuk kanak-kanak berumur 6 tahun sehingga ke peringkat remaja yang masih sedang berkembang dalam pelbagai aspek, kebenaran screen time adalah lebih longgar jika dibandingkan dengan dua kumpulan umur sebelumnya. Kanak-kanak pada peringkat umur sebegini adalah dibenarkan untuk menggunakan screen time jika perkara-perkara penting yang melibatkan interaksi sosial, belajar, dan tidur telah diselesaikan terlebih dahulu. Untuk kanak-kanak yang normal, tidur yang mencukupi adalah di antara 8 hingga ke 12 jam (Chassiakos et al., 2016). Oleh yang demikian, waktu yang disarankan adalah masih dalam sekitar 3 jam. Selain daripada memantau aktiviti anak-anak, ibu bapa juga perlulah menerangkan kepada mereka tentang justifikasi di sebalik pelaksanaan had screen time ini. Hal ini adalah supaya ibu bapa dapat mewujudkan kesepakatan dan membina kepercayaan bersama mereka. Dikhuatiri jika perkara ini dilaksanakan tanpa sebarang sebab yang diketahui, anak-anak akan mengalami kekeliruan dan seterusnya memberontak.

Di samping itu, AAP juga menyediakan tapak secara atas talian untuk ibu bapa bina sendiri pelan penggunaan media keluarga masing-masing. Pelan ini boleh disesuai dan diperincikan mengikut umur anak-anak secara terperinci di pautan https://www.healthychildren.org/English/media/Pages/default.aspx#home.

RUMUSAN
Melalui artikel ini, kita dapat merumuskan bahawa pembelajaran kanak-kanak adalah amat bergantung kepada keutuhan institusi kekeluargaan. Keluarga yang mengamalkan interaksi yang kerap sesama ahli keluarga akan dapat mendidik anak-anak terutamanya yang masih kecil dengan lebih berkesan. Walaupun pendidikan kini telah berkembang sehingga melibatkan teknologi, namun keberkesanannya boleh boleh dipertingkatkan apabila ibu bapa memainkan peranan dalam proses pembelajaran tersebut sama ada secara langsung ataupun tidak. Diharapkan agar ibu bapa akan lebih peka dan cakna tentang isu screen time anak-anak dan dapat membina pelan yang sesuai untuk kegunaan keluarga dalam usaha menggunakan teknologi secara optimum di samping melahirkan keluarga yang sihat dan harmoni.


Rujukan:

American Academy of Pediatrics (2016, Oktober 21). American Academy of Pediatrics Announces New Recommendations for Children’s Media Use. Diperolehi daripada https://www.aap.org/en-us/about-the-aap/aap-press-room/pages/american-academy-of-pediatrics-announces-new-recommendations-for-childrens-media-use.aspx

Brown, A. (2011). Council on communications and media. Media use by children younger than 2 years. Pediatrics, 5, p. 1040-1045.
Chassiakos, Y. R., Radesky, J., Cristakis, D., Moreno, M. A., Cross, C., & Council on Communciations and Media (2016). Children and Adolescents and Digital Media. American Academy of Pediatrics, 138(5).

Putri Afzan Maria, Z. (2015, Mei 7). Kanak-kanak dan Gajet. Diperolehi daripada http://www.ukm.my/wadahict/kanak-kanak-gajet/.

Ribner, A., Fitzparick, C., & Blair, C. (2017). Family socioeconomic status moderates associations between television viewing and school readiness skills. Journal of Developmental & Behavioral Pediatrics, 38(3), p. 233-239.

Strasburger, V. C. (1986). Does television affect learning and school performance?, Paediatrician, 38, p. 141-147


Panduan Sebenar Program Transformasi Minda (PTM) Melalui EPSA

1.Umum mengetahui bahawa guru-guru yang baru berkhidmat perlu menduduki kursus yang akan melayakkan mereka untuk pengesahan dalam jawatan. Kursus yang dahulunya dipanggil sepagai Kursus Induksi, dan seterusnya Program Transformasi Minda (PTM), merupakan perkara wajib yang mesti disempurnakan dalam tempoh percubaan maksimum 3 tahun seseorang penjawat awam yang baru

2. Disebabkan kekurangan peruntukan, guru-guru yang tahun perkhidmatannya bermula 2014 sehingga 2016 kini dikehendaki menduduki kursus secara online melalui E-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA) supaya dikecualikan daripada menduduki PTM.

3. Mereka yang telah menjalani PTM tidak perlu menjalani EPSA-PTM 

4. Mereka yang posting pada tahun 2017 juga tidak perlu menjalani EPSA-PTM 

5. Jika mula EPSA pada tahun ini, mesti diselesaikan pada tahun ini juga

6. Jika tahun lalu pernah buat kursus wajib, boleh digunapakai sijil tersebut untuk dihantar ke pihak berkenaan. Kalau macam saya baru daftar tahun ni, sila rujuk no. 5

7. Klik LOGIN. Jangan klik DAFTAR sebab nama kita memang telah ada dalam sistem



8. Pastikan butiran peribadi diisi

9. Anda akan dibawa ke dashboard pembelajaran seperti ini

10. Memang terdapat banyak kursus menarik yang ditawarkan dalam EPSA tetapi menurut "Garis Panduan PTM" (2017), kursus yang anda perlu ikuti untuk layak pengecualian PTM ini ialah


11. Pastikan setelah tamat subjek/modul, sijil anda boleh dihasilkan dan dicetak. Sila simpan soft copy untuk tujuan peribadi

Ini sahaja yang boleh dipaparkan setakat ini. Kursus-kursus di atas mengambil masa yang lama untuk diselesaikan maka panduan ini akan berhenti setakat ini. Sila rujuk manual peserta untuk langkah seterusnya

Rujukan:

Menipu Diri Sendiri Untuk Berjaya

Secara umumnya, menipu adalah suatu perbuatan yang tidak baik dan amat ditegah dalam amalan seharian kita. Walau bagaimanapun, dalam psikologi, terdapat satu teknik yang menggalakkan anda untuk menipu dan perbuatan ‘menipu’ dalam konteks ini bukan sahaja tidak mendatangkan kemudaratan, malah mendatangkan manfaat bergantung kepada tujuan anda manggunakan teknik ini.

Teknik yang diperkatakan tadi adalah dinamakan sebagai self-fulfilling prophecy (SFP) atau dalam Bahasa Melayu, ia dinamakan sebagai ramalan kebenaran kendiri. SFP sebenarnya berfungsi dengan menggunakan hanya satu mekanisme iaitu menipu diri sendiri seperti yang telah diterangkan tadi. Yang menariknya, ‘penipuan’ ini boleh dilakukan secara sedar ataupun tidak – kadang-kala kita sendiri tidak tahu bahawa kita sedang menipu diri sendiri! Itulah kehebatan fenomena yang dinamakan oleh SFP ini yang berpotensi untuk memberikan kebaikan jika digunakan secara betul, dan juga berkemungkinan membawa keburukan jika digunakan untuk tujuan tersebut.

SFP pertama sekali ditemukan oleh seorang ahli sosiologi yang bernama Robert K. Merton. Menurutnya, SFP boleh didefiniskan sebagai  cara kita mengolah sesuatu keadaan yang akan menyebabkan berlakunya sesuatu kejadian atau perlakuan yang menjadikan olahan tadi menjadi benar.  Aliran kronologi situasi berikut akan membantu pemahaman anda berkaitan SFP:

1.      Ahmad percaya bahawa dialah merupakan calon yang paling hebat dan berkelulusan tinggi untuk mendapatkan jawatan yang ditawarkan dalam temuduga tersebut
2.      Disebabkan dia yakin, maka dia Berjaya berhujah dengan petah
3.      Ahmad Berjaya mendapatkan jawatan tersebut disebabkan ketrampilannya
4.      Kejayaannya menjadi bukti bahawa Ahmad merupakan calon yang paling layak.
Dalam situasi ini, Ahmad telah menyandarkan kejayaannya mendapatkan pekerjaan tersebut kepada dirinya yang mempunyai kelulusan yang tinggi tanpa mengambil kira faktor lain seperti kelayakan calon lain dan keperluan dan penilaian penemuduga yang bertugas ketika itu. Namun begitu, inilah kunci utama kepada mana-mana fenomena SFP yang terjadi iaitu elemen utama yang perlu diwujudkan ialah kepercayaan awal yang dibina oleh diri sendiri.  Perkara yang terjadi seterusnya hanya akan menguatkan lagi kepercayaannya bahawa dialah calon yang paling hebat dan tiada tolok bandingnya lagi. Dari sudut positif, Ahmad kini mempunyai kerjaya yang sesuai dengan usahanya sebelum sesi temuduga.

Sejak penemuan dan penjelasan tentang fenomena ini, para pengkaji telah menemukan bahawa ia mempunyai potensi untuk memberikan kesan yang berimpak tinggi. Dalam satu kajian, para guru telah ‘ditipu’ bahawa pelajar yang menduduki peperiksaan pada tahun tersebut merupakan pelajar yang cemerlang sedangkan mereka merupakan subjek yang dipilih secara rawak. Berikutan itu, para pelajar ini telah dilabel sebagai ‘pelajar cemerlang’ dan ini telah mempengaruhi layanan dan teknik pengajaran guru-guru terhadap mereka. Dalam kajian oleh Rosenthal dan Jacobson(1968) itu, label tersebut telah memberikan kelebihan dan menghasilkan peratusan gred yang tinggi dalam ujian IQ dan kajian ini telah diulang berkali-kali oleh pengkaji yang berlainan dengan keputusan yang sama.

Penemuan kepada fenomena dan penjelasan psikologikal yang menarik seperti ini mendorong kita untuk sentiasa menetapkan niat yang baik dan positif sebelum membuat apa-apa keputusan atau perbuatan kerana kejadian yang menyusul selepas itu akan membentuk diri kita di kemudian waktu. Walau bagaimanapun, sebagaimana fenomena ini begitu berkesan untuk keadaan yang positif, malah ia juga boleh diaplikasikan dalam keadaan yang boleh membawa mudarat. Bayangkan keadaan di mana seorang pelajar yang percaya dirinya tidak mempunyai nilai dan kemudian kerap menyendiri. Perbuatan dirinya yang menyendiri tanpa ditemani rakan sebaya akan menguatkan lagi kepercayaan bahawa dirinya tidak dihargai oleh sesiapa.

Adalah penting untuk mengetahui bahawa SFP bukan sahaja mempunyai kesan terhadap diri sendiri, malah juga orang di sekeliling kita. Dalam kajian oleh Madon et al. (2008), kepercayaan para ibu terhadap penglibatan anak mereka dengan alkohol mempunyai kesan tidak terus dengan penilaian diri anak tersebut tentang kebarangkalian mereka untuk menyalahgunakan alkohol.  Oleh yang demikian, adalah amat penting untuk kita sentiasa mempunyai tanggapan awal yang positif sama ada untuk diri sendiri, mahupun orang lain untuk mendapatkan kesan yang terbaik untuk kesejahteraan manusia sejagat. SFP, jika diamalkan dalam konteks yang positif, akan memberikan faedah dalam jangka masa yang panjang dan berpotensi untuk menjadi kekal dan membentuk keperibadian seseorang. 

Guru-guru perlu membuat refleksi tentang layanan kita terhadap murid-murid yang perlu diberi layanan secara sama rata dan segala bentuk amalan pilih kasih adalah perlu dihindarkan. Benar bahawa perkara ini agak sukar untuk diamalkan di sesetengah sekolah berikutan para pelajar dikelaskan mengikut keupayaan mereka namun jika guru-guru boleh mengubah pemikiran sendiri bahawa semua murid berpotensi untuk cemerlang, maka tentu sekali layanan kita terhadap mereka akan menjadi sama rata dan seterusnya memberikan kesan terhadap prestasi pelajar dan penilaian kendiri mereka dalam akademik.

RUJUKAN
  • Merton, R. K. (1948). The Self-fulfilling prophecy. The Antioch Review, 8, 2. 193-210
  • Madon, S., Guyll, M., Buller, A. A., Scherr, K. C., Willard, J., & Spoth, R. (2008). The mediation of mothers’ self-fulfilling effects on their children’s alcohol use: self-verification, information conformity, and modeling process. Journal of Personality and Social Psychology. 95(2), 369 – 384.
  • Rosenthal, R., & Jacobson, L. (1968). Pygmalion in the classroom: Teacher expectations and student intellectual development. New York: Holt, Rineheart, and Winston.


Schizophreniform - Gangguan Mental

Dalam artikel yang terdahulu, saya telah menulis tentang skizofrenia dan skizofrenia kanak-kanak. Dalam diagnosis masalah mental, terdapat juga sejenis gangguan yang dinamakan schizophreniform / skizofrenifom* . Simptom-simptom yang dialami oleh pesakit schizophreniform adalah sama sahaja dengan skizofrenia di mana para pesakit mesti mengalami:

1. Delusi
2. Halusinasi
3. Tutur kata tidak teratur (disorganized speech).

Pesakit mestilah mengalami salah satu atau lebih daripada simptom 1-3;

4. Pelakuan katatonik (catatonic behaviour).
5. Ketiadaan emosi (flat effect)

Jika diperhatikan, simptom antara gangguan skizofreniform dengan skizofrenia adalah 100% sama melainkan pada satu aspek iaitu tempoh gangguan terjadi. Jika untuk skizofrenia simptom mestilah melebihi 6 bulan, skizofreniform pula menunjukkan simpton dialami pesakit dalam tempoh masa kurang daripada 6 bulan.

RAWATAN:

1. UBATAN

Setelah disahkan oleh pakar bertauliah e.g psikiatri bahawa seseorang itu menghidapi gangguan skizofreniform, maka rawatan dan terapi tertentu akan dicadangkan dan dijalankan. Antara rawatan yang ada termasuklah pemberian ubat antipsikotik, di mana rawatan jenis ini boleh mengurangkan simptom sebanyak 60% selepas 1 tahun walaupun pesakit tidak lagi menggunakan ubat tersebut (Kahn et al., 2008).

2. PSIKOTERAPI

Artikel kali ini ditulis sebagai rujukan umum dan bukan untuk diagnosis sendiri. Jika anda risau diri sendiri ataupun orang yang anda kenal menghidapi gangguan skizofreniform, sila rujuk kepada ahli yang bertauliah.


RUJUKAN:
Medina, J. (2016). Schizophreniform Disorder Symptoms. Psych Central. Retrieved on March 3, 2017, from https://psychcentral.com/disorders/schizophreniform-disorder-symptoms/

Kahn, R.S., Flesichhacker, W. W., Boter, H., Davidson, M., Vergouwe, Y., Keet, I. P. M., Gheorge, M. D., Rybakowski, J. K., Galderisi, S., Libiger, J., Hummer, M., Dollfus, S., Lopez-Ibor, J. J., Hranov, L. G., Gaebel, W., Peuskens, J., Lindefors, N., Riecher-Rossler, A., & Grobbee, D. E. (2008). Effectiveness of antipsychotic drugs in first-episode schizophrenia and schizphreniform disorder: an open randomised clinical trial. The Lancet, 371, p. 1085-1049.

Adakah Warna Hijau Boleh Menyembuhkan Penyakit dan Penglihatan?

Dalam entri kali ini kami akan menjawab soalan yang diutarakan oleh pembaca ke alamat emel kami. Untuk soalan-soalan yang lain, sila rujuk pautan ini. Untuk soalan-soalan yang ingin ditanya, sila gunakan fungsi "search bar" di bahagian kanan web ini.  

Image result for looking at green

Soalan kali ini berbunyi seperti berikut:
Subject:Warna Hijau Penyembuh kepada Segala Penyakit
Cikgu BM kata bila melihat warna hijau seperti daun ,pokok2, bunga warna hijau dan lain-lain lagi yang warna hijau akan beri lebih fokus pada setiap perkara malahan akan merehatkan mata yang melilau kepeningan dan minda.Betulkah fakta yang diberikan itu ,minta penjelasan.
Jawapan: Mengikut pengalaman saya belajar dan juga rujukan terkini, tiada kajian saintifik yang membuktikan bahawa adanya kesan terhadap kesihatan apabila kita melihat kepada warna-warna tertentu. Warna hijau dikatakan dapat menyembuhkan penyakit, warna ungu dapat meningkatkan kreativiti, dan sebagainya.

Namun begitu, tiada kajian, setakat yang diketahui, yang berjaya menunjukkan bahawa pesakit yang ditunjukkan warna hijau sembuh disebabkan warna tersebut secara eksklusif. Adakah jika anak anda demam maka dia akan sembuh jika ditayangkan sekeping duit lima ringgit? Tidak.

Namun begitu, pemilihan warna-warna tertentu ada mempunyai kesan terhadap mood anda dan mengikut kajian daripada Koelsch et al. (2016), perbezaan mood anda mempengaruhi kadar penyembuhan di mana orang yang moodnya lebih elok akan lebih cepat sembuh berbanding mereka yang mempunyai mood yang teruk.

Tambahan pula, warna-warna tertentu mempunyai kesan terhadap mood anda. Mengikut kajian saintifik, warna hijau memberikan kesan baik kepada mood kita (Akers et al., 2012) tetapi adalah amat bahaya jika kita mahu menyimpulkan bahawa warna hijau yang mempengaruhi penyakit secara langsung kerana setakat ini, apa yang kita ketahui ialah:

warna hijau -----> mood positif --------> kadar penyembuhan penyakit

Oleh yang demikian, warna hijau tidak menyembuhkan sebarang penyakit. 

ADAKAH WARNA HIJAU DAPAT MENINGKATKAN FOKUS?

Malangnya sekali lagi, tiada kajian saintifik yang menyokong kenyataan seperti ini. Kewujudan atau ketiadaan kesan warna terhadap fokus seseorang adalah sama rata mengikut pertimbangan kami(mungkin topik ini memerlukan kajian yang lebih mendalam). Walau bagaimanapun, dapatan berbeza ditemukan dalam memori. Jika seorang pelajar diberikan 3 persembahan slaid Microsoft Powerpoint yang mempunyai 3 warna latar yang berbeza iaitu hijau, putih, dan biru,


warna yang mana satukah lebih mudah diingati semula?

Menurut McConnohie (1999) seperti dipetik daripada Mariam Adawiah dan Muhammad Faiz (2013), warna latar putih memberikan kesan positif yang paling tinggi terhadap memori kita. Ini bermaksud, kadar penyimpanan maklumat dalam memori kita paling tinggi apabila warna latar putih digunakan pada tulisan.

Walaupun tiada kaitan terus antara warna hijau dengan fokus pelajar, namun terdapat banyak kajian yang mengaitkan warna tersebut dengan pencapaian seseorang. Sebagai contoh, Kwallek, Woodson, dan Sales (1996) menemukan bahawa warna hijau dapat meningkatkan prestasi pekerja di dalam pejabat, manakala untuk para pelajar, University of Illinois at Urbana-Champaign (2016) menemukan bahawa prestasi pelajar dapat meningkat jika mereka melihat landskap hijau berbanding pelajar yang berada dalam bilik tertutup.

ADAKAH WARNA HIJAU DAPAT MEREHATKAN MATA

"Lihat benda hijau untuk merehatkan mata untuk setiap 30 minit kita membuat kerja", begitulah kata nasihat yang seringkali kita dengari. Apa yang terjadi apabila kita membaca sesuatu atau melihat apa-apa sahaja seperti skrin komputer pada jarak yang dekat, otot yang terlibat untuk memfokuskan pandangan akan terbeban dan melihat objek yang jauhlah yang sebenarnya merehatkan mata. 

Kesilapan "melihat benda hijau akan merehatkan mata" terhasil kerana selalunya apabila kita melihat objek yang berada jauh, objek tersebut akan cenderung untuk menjadi warna hijau, seperti hutan di bukit, padang, sawah padi, dan sebagainya. Kekeliruan ini seterusnya disampaikan dari mulut ke mulut dan menjadikan seolah-olah warna hijau mempunyai kuasa ajaib untuk merehatkan otot mata.

Kesimpulannya, warna hijau tidak mempunyai kuasa ajaib untuk merehatkan otot mata. 


RUJUKAN:
1. Koelsch, S., Boehlig, A., Hohenadel, M., Nitsche, I., Bauer, K., & Sack, U. (2016). The impact of acute stress on hormones and cytokines, and how their recovery is affected by music-evoked positive mood. Scientific Reports, 6, 23008. http://doi.org/10.1038/srep23008
2. Akers, A., Barton, J., Cossey, R., Gainsford, P., Griffin, M., and Micklewright, D. (2012). Visual color eprception in green exercise: Positive effects on mood and perceived exertion. Environmental Science and Technology, 46, 8661-8666.
3. McConnohie, B. V. (1999). Unpublished doctoral dissertation. Johnson Bible College, Florida.
4. Mariam Adawiah, Z. and Muhammad Faiz, M. (2013). The Influence of Colour on Memory Performance: A Review. The Malaysian Journal of Medical Sciences : MJMS, 20(2), 3–9.
5. Kwallek, N., Hoodson, W., Lewis, C. M., and Sales, C. (1999). Impact of three interior colour schemes on worker mood and performance relative to individual environmental sensitivity. COLOR Research and Application. 22 (2). 121-132. 
6. University of Illinois at Urbana-Champaign. (2016, January 22). A green view through a classroom window can improve students’ performance. ScienceDaily. Retrieved February 17, 2017 from www.sciencedaily.com/releases/2016/01/160122170932.htm

4 Teknik Belajar Berdasarkan Kajian Psikologi

Image result for studyingAssalamualaikum dan salam sejahtera untuk pembaca semua. Memandangkan kita masih berada dalam awal tahun, maka bolehlah dikatakan bahawa para pelajar terutamanya yang akan menghadapi peperiksaan utama masih mempunyai masa yang agak banyak untuk membuat persediaan. Selain daripada menumpukan perhatian di dalam kelas, pakar psikologi mendapati bahawa cara-cara berikut dapat meningkatkan potensi pelajar.

1. TEKNIK NOMBOR AJAIB 7±2
Kajian psikologi yang terdahulu mendapati bahawa seorang manusia normal dapat menghafal sebanyak 5-9 maklumat yang berbeza dalam satu-satu masa dan menyebutkannya semula tanpa sebarang masalah (Miller, 1956). Mengikut logik, memang tidak hairanlah menghafal maklumat yang banyak adalah lebih sukar berbanding maklumat yang sedikit tetapi kita perlu tahu berapakah bilangan yang dianggap sebagai terlampau banyak sehingga menyebabkan potensi pelajar merudum?

Mengikut kajian psikologi, untuk manusia biasa menghafal

durian, manggis, mangga, kelapa, cempedak, nangka, rambutan, anggur, epal;

adalah lebih senang berbanding menghafal

durian, manggis, mangga, kelapa, cempedak, nangka, rambutan, anggur, epal, malberi, pear, barli, limau.

Oleh itu, para guru boleh cuba untuk memaparkan 7 maklumat berlainan (maksimum) dalam satu-satu masa untuk memastikan potensi memori jangka pendek pelajar digunakan secara optimum dalam pembelajaran. Para pelajar juga boleh mempraktikkan kaedah yang sama apabila membuat ulangkaji dan jika kaedah ini digunakan, maka para pelajar dinasihatkan agar mula mengulangkaji dari awal tahun dan jangan tangguhkan sehingga ke hujung waktu.

2. TEKNIK PENGELOMPOKAN (CHUNKING)
Selain daripada bilangan maklumat, saintis yang sama juga mencadangkan bahawa maklumat atau fakta-fakta adalah lebih mudah diingat apabila disusun mengikut kelompok. Chunking, atau pengelompokan ialah proses menggabungkan maklumat-maklumat berlainan kepada unit yang membawa maksud kepada pengguna (Miller, 1956). Secara praktikalnya,

6275660017 adalah lebih sukar diingat berbanding 017 276 0656 kerana jika tidak disusun, maka maklumat yang diberikan adalah dilihat secara rawak dan tidak memberikan sebarang makna. Sebaliknya, apabila nombor tersebut dikelompokkan, ia akan membentuk nombor telefon dan lebih mudah untuk dihafal dan beban kognitif yang ditanggung oleh memori jangka pendek kita pun berkurangan.

Keberkesanan teknik chunking adalah bergantung kepada bilangan "chunks" yang kita bina iaitu (017), (276), dan (0656) di mana saiz tersebut perlu mengikut teknik nombor ajaib. Bilangan elemen yang terkandung dalam setiap chunk pula adalah tidak terhad (Sweller et al., 1998)

Secara praktikalnya, para pelajar boleh cuba untuk kelompokkan nama-nama penting dalam buku teks Sejarah. Kelompokkan nama penjajah Inggeris, Belanda, Portugis, Jepun, supaya mudah untuk anda ingat mengikut turutan peristiwa dan nama individu yang terlibat.

3. TEKNIK PEMPROSESAN TERAGIH (DISTRIBUTED PROCESSING)
Dalam konteks sistem komputer, distributed processing boleh dijelaskan sebagai beberapa komputer atau prosesor yang digunakan untuk menjalankan sesebuah aplikasi. Dalam konteks psikologi pula, ia bermaksud 2 subsistem memori jangka pendek yang digunakan untuk memproses maklumat. Subsistem tersebut ialah:

  • visuo-spatial sketchpad - memproses/menyimpan secara sementara maklumat dalam bentuk imej
  • phonological loop - memproses maklumat/ menyimpan secara sementara maklumat dalam bentuk bertulis atau lisan

Mengikut kajian psikologi, setiap subsistem beroperasi tanpa kesan buruk kerana mereka berfungsi secara eksklusif (Baddeley, 2001). Oleh itu, Moreno dan Duran (2004) berpendapat bahawa jika kedua-dua subsistem ini diaktifkan ketika belajar, maka murid akan dapat belajar dengan lebih berkesan.

Untuk memanfaatkan pengetahuan ini, penyampaian ilmu perlu disampaikan dengan menggunakan imej/alat yang berupaya menarik minat tetapi relevan dengan topik yang disampaikan. Guru biologi boleh menggunakan manikin anatomi semasa menjelaskan proses pencernaan agar aliran pemprosesan makanan dapat difahami dengan lebih jelas. Untuk pelajar pula, nota dan ulangkaji bolehlah disertakan dengan gambar lukisan yang berkaitan dengan topik tersebut seperti melukis gambar nenas di atas peta Johor dalam matapelajaran Geografi.

4. MEMBINA KEAUTOMATIKAN (AUTOMATICITY)
Automaticity ialah kebolehan untuk melakukan operasi mental dengan menggunakan usaha atau kesedaran yang tinggi seperti proses aktif yang lain (Feldon, 2007). Contoh keautomatikan ialah seseorang yang telah mahir menggunakan papan kekunci komputer tanpa perlu lagi untuk melihat kepada aksara yang digunakan seperti waktu dia mula-mula belajar dahulu.

Dalam konteks pembelajaran, para pelajar perlulah membiasakan diri untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris dan mengetahui maksud-maksud perkataan yang biasa digunakan dalam perbualan supaya beban muatan kognitif dapat dikurangkan dan digunakan untuk proses lain seperti memahami konteks ayat dan juga mengesan kesalahan tatabahasa.

Walaupun 4 teknik ini mempunyai asas kajian psikologi yang menyokong keberkesanannya, namun pelajar harus ingat bahawa faktor lain yang disarankan oleh guru dan pakar motivasi seperti belajar berkumpulan juga merupakan cara yang memberikan kesan positif kepada potensi pelajar. Kesimpulannya, para pelajar perlu berusaha keras dan mengamalkan cara pembelajaran yang pelbagai untuk berjaya dalam peperiksaan.

-----------------------
RUJUKAN:
1. Miller, G. A. (1956). The magical number seven, plus or minus two: Some limits on our capacity for processing information. The Psychological Review, 63 (2), pp. 81-97.
2. Sweller, J., van Merrienboer, J., & Paas, F. (1998). Cognitive architecture and instructional design. Educational Psychology Review, 10, 251-296.
3. Moreno, R., & Duran, R. (2004). Do multiple representations need explanations: The role of verbal guidance and individual differences in multimedia mathematics learning. Journal of Educational Psychology, 97(1), 117-128.
4. Feldon, D.F. (2007a). Cognitive load and classroom teaching: The double-edged sword of automaticity. Educational Psychologist, 42, 123-137.

More

SEARCH

MESEJ RINGKAS

Creative Commons License
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International License.
Based on a work at http://www.arcx13.com.
Permissions beyond the scope of this license may be available at https://www.facebook.com/arcx13?ref=bookmarks. Dalam BM, korang tak boleh copy langsung melainkan ada kebenaran