HADKAN PENGGUNAAN GAJET PADA KANAK-KANAK

Dalam dunia yang kian berpusatkan IT dan teknologi kini, hampir semua perkara adalah melibatkan media elektronik. Peranti elektronik yang terdiri daripada telefon pintar, tablet, komputer peribadi, dan sebagainya merupakan pemilikan yang semakin mudah dan mampu dimiliki jika dibandingkan dengan 10 tahun yang lepas. Pada tahun 2006 misalnya, sebuah telefon Nokia N-Gage QD yang kebiasaannya digunakan oleh remaja untuk bermain permainan video berformat Java adalah berharga sekitar RM500 namun dengan nilai wang yang sama pada tahun 2017, kita boleh memiliki peranti yang jauh lebih canggih dan mempunyai kefungsian yang lebih pelbagai. Disebabkan hal ini, kita boleh lihat masyarakat daripada pelbagai lapisan umur termasuklah kanak-kanak di bawah umur 3 tahun ada yang sudah terlampau terbiasa dengan penggunaan telefon pintar.

KEBURUKAN PENGGUNAAN GAJET
Walaupun tidak dinafikan bahawa teknologi seperti telefon pintar membawa kebaikan, ia juga diketahui sebagai pembawa keburukan jika penggunaannya tidak dikawal. Kita dapat lihat bahawa terdapatnya budaya penggunaan peranti yang dimulakan terlampau awal bahkan penggunaan peranti itu sendiri dianggap sebagai penyelesaian segera kepada ibu bapa untuk mengawal perlakuan anak mereka. Untuk memburukkanlagi keadaan, ibu bapa yang dinasihati untuk tidak mengamalkan budaya tersebut pula akan membidas bahawa anak mereka akan memperolehi faedah yang jauh lebih tinggi berbanding dengan kesan buruk yang dibawa oleh penggunaan gajet (screen time) yang terlampau tinggi. Gajet yang dimaksudkan dalam konteks ini termasuklah penggunaan televisyen dalam kehidupan seharian.

Prof. Madya Dr. Putri Afzan Maria Zulkifli, dalam penulisannya dalam kolum Wadah ICT di laman web Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan bahawa kanak-kanak yang dibiarkan menonton TV akan mengalami efek negatif pada perkembangan bahasa, skil membaca, dan ingatan memori jangka pendek. Hal ini disokong oleh kajian psikologi oleh Strasburger (1986) yang menunjukkan bahawa TV merosakkan perkembangan kanak-kanak terutamanya dalam keupayaan mereka untuk membaca.  Malah, dalam kajian terkini oleh Ribner et al. (2017) pula mendapati bahawa terdapatnya perkaitan yang besar antara TV dengan kesediaan pelajar untuk berada di sekolah terutamanya untuk mereka yang datangnya daripada keluarga dengan pendapatan rendah. Yang lebih merisaukan adalah kesan-kesan yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak dalam konteks seksual, perlakuan, dan kesihatan (Josephson, 1995; Dietz & Gortmaker, 1985; Strasburger, 1986; Strasburger, 1989) yang jelas dikaitkan dengan penggunaan screen time yang tinggi.



KEBENARAN DI SEBALIK KEBAIKAN GAJET
Benar, memang penggunaan gajet ada kesan baiknya kepada kanak-kanak. Pada asalnya, ibu bapa kini cenderung memberikan gajet kepada anak-anak untuk tujuan pendidikan seperti belajar perkataan baru dan sebagainya. Walau bagaimanapun, Putri Afzan Maria (2015) menyatakan bahawa keburukan menggunakan gajet sebenarnya adalah berpunca daripada perkara yang tidak dilakukan ketika screen time  iaitu interaksi bersama orang yang lebih dewasa. Penyataan ini adalah sokongan kepada kajian oleh Brown (2011) yang menyatakan bahawa pembelajaran melalui interaksi dengan ibu bapa adalah jauh lebih berkesan berbanding dengan menggunakan video pembelajaran sahaja.  Apa yang terjadi ialah anak-anak kecil yang belajar kemahiran bertutur daripada video pembelajaran ataupun kemahiran menyelesaikan masalah puzzle melalui aplikasi permainan video akan menghadapi masalah untuk mempraktikannya di alam sebenar. Benarlah seperti kata-kata orang tua bahawa jika belajar hendaklah berguru. Seeloknya, kanak-kanak yang masih di peringkat bayi hendaklah belajar mengenal alam sekeliling melalui interaksi sosial dengan ibu bapa sendiri.

SARANAN KEPADA IBU BAPA

Seeloknya, ibu bapa perlulah memantau aktiviti yang dijalankan oleh anak-anak sendiri. Disamping bimbingan dan tunjuk ajar semasa pembelajaran ilmiah, ibu bapa mestilah juga mengehadkan screen time mereka. Menurut Akademi Pediatrik Amerika (AAP), jumlah jam screen time maksimum adalah berbeza mengikut umur pengguna :

0 -2 tahun            : 0 jam sehari
2 -5 tahun            : 2 jam sehari
6 tahun dan seterusnya : Dihadkan

Untuk kanak-kanak berumur 6 tahun sehingga ke peringkat remaja yang masih sedang berkembang dalam pelbagai aspek, kebenaran screen time adalah lebih longgar jika dibandingkan dengan dua kumpulan umur sebelumnya. Kanak-kanak pada peringkat umur sebegini adalah dibenarkan untuk menggunakan screen time jika perkara-perkara penting yang melibatkan interaksi sosial, belajar, dan tidur telah diselesaikan terlebih dahulu. Untuk kanak-kanak yang normal, tidur yang mencukupi adalah di antara 8 hingga ke 12 jam (Chassiakos et al., 2016). Oleh yang demikian, waktu yang disarankan adalah masih dalam sekitar 3 jam. Selain daripada memantau aktiviti anak-anak, ibu bapa juga perlulah menerangkan kepada mereka tentang justifikasi di sebalik pelaksanaan had screen time ini. Hal ini adalah supaya ibu bapa dapat mewujudkan kesepakatan dan membina kepercayaan bersama mereka. Dikhuatiri jika perkara ini dilaksanakan tanpa sebarang sebab yang diketahui, anak-anak akan mengalami kekeliruan dan seterusnya memberontak.

Di samping itu, AAP juga menyediakan tapak secara atas talian untuk ibu bapa bina sendiri pelan penggunaan media keluarga masing-masing. Pelan ini boleh disesuai dan diperincikan mengikut umur anak-anak secara terperinci di pautan https://www.healthychildren.org/English/media/Pages/default.aspx#home.

RUMUSAN
Melalui artikel ini, kita dapat merumuskan bahawa pembelajaran kanak-kanak adalah amat bergantung kepada keutuhan institusi kekeluargaan. Keluarga yang mengamalkan interaksi yang kerap sesama ahli keluarga akan dapat mendidik anak-anak terutamanya yang masih kecil dengan lebih berkesan. Walaupun pendidikan kini telah berkembang sehingga melibatkan teknologi, namun keberkesanannya boleh boleh dipertingkatkan apabila ibu bapa memainkan peranan dalam proses pembelajaran tersebut sama ada secara langsung ataupun tidak. Diharapkan agar ibu bapa akan lebih peka dan cakna tentang isu screen time anak-anak dan dapat membina pelan yang sesuai untuk kegunaan keluarga dalam usaha menggunakan teknologi secara optimum di samping melahirkan keluarga yang sihat dan harmoni.


Rujukan:

American Academy of Pediatrics (2016, Oktober 21). American Academy of Pediatrics Announces New Recommendations for Children’s Media Use. Diperolehi daripada https://www.aap.org/en-us/about-the-aap/aap-press-room/pages/american-academy-of-pediatrics-announces-new-recommendations-for-childrens-media-use.aspx

Brown, A. (2011). Council on communications and media. Media use by children younger than 2 years. Pediatrics, 5, p. 1040-1045.
Chassiakos, Y. R., Radesky, J., Cristakis, D., Moreno, M. A., Cross, C., & Council on Communciations and Media (2016). Children and Adolescents and Digital Media. American Academy of Pediatrics, 138(5).

Putri Afzan Maria, Z. (2015, Mei 7). Kanak-kanak dan Gajet. Diperolehi daripada http://www.ukm.my/wadahict/kanak-kanak-gajet/.

Ribner, A., Fitzparick, C., & Blair, C. (2017). Family socioeconomic status moderates associations between television viewing and school readiness skills. Journal of Developmental & Behavioral Pediatrics, 38(3), p. 233-239.

Strasburger, V. C. (1986). Does television affect learning and school performance?, Paediatrician, 38, p. 141-147


More

SEARCH

MESEJ RINGKAS

Creative Commons License
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International License.
Based on a work at http://www.arcx13.com.
Permissions beyond the scope of this license may be available at https://www.facebook.com/arcx13?ref=bookmarks. Dalam BM, korang tak boleh copy langsung melainkan ada kebenaran