Dalam entri kali ini kami akan menjawab soalan yang diutarakan oleh pembaca ke alamat emel kami. Untuk soalan-soalan yang lain, sila rujuk pautan ini. Untuk soalan-soalan yang ingin ditanya, sila gunakan fungsi "search bar" di bahagian kanan web ini.  

Image result for looking at green

Soalan kali ini berbunyi seperti berikut:
Subject:Warna Hijau Penyembuh kepada Segala Penyakit
Cikgu BM kata bila melihat warna hijau seperti daun ,pokok2, bunga warna hijau dan lain-lain lagi yang warna hijau akan beri lebih fokus pada setiap perkara malahan akan merehatkan mata yang melilau kepeningan dan minda.Betulkah fakta yang diberikan itu ,minta penjelasan.
Jawapan: Mengikut pengalaman saya belajar dan juga rujukan terkini, tiada kajian saintifik yang membuktikan bahawa adanya kesan terhadap kesihatan apabila kita melihat kepada warna-warna tertentu. Warna hijau dikatakan dapat menyembuhkan penyakit, warna ungu dapat meningkatkan kreativiti, dan sebagainya.

Namun begitu, tiada kajian, setakat yang diketahui, yang berjaya menunjukkan bahawa pesakit yang ditunjukkan warna hijau sembuh disebabkan warna tersebut secara eksklusif. Adakah jika anak anda demam maka dia akan sembuh jika ditayangkan sekeping duit lima ringgit? Tidak.

Namun begitu, pemilihan warna-warna tertentu ada mempunyai kesan terhadap mood anda dan mengikut kajian daripada Koelsch et al. (2016), perbezaan mood anda mempengaruhi kadar penyembuhan di mana orang yang moodnya lebih elok akan lebih cepat sembuh berbanding mereka yang mempunyai mood yang teruk.

Tambahan pula, warna-warna tertentu mempunyai kesan terhadap mood anda. Mengikut kajian saintifik, warna hijau memberikan kesan baik kepada mood kita (Akers et al., 2012) tetapi adalah amat bahaya jika kita mahu menyimpulkan bahawa warna hijau yang mempengaruhi penyakit secara langsung kerana setakat ini, apa yang kita ketahui ialah:

warna hijau -----> mood positif --------> kadar penyembuhan penyakit

Oleh yang demikian, warna hijau tidak menyembuhkan sebarang penyakit. 

ADAKAH WARNA HIJAU DAPAT MENINGKATKAN FOKUS?

Malangnya sekali lagi, tiada kajian saintifik yang menyokong kenyataan seperti ini. Kewujudan atau ketiadaan kesan warna terhadap fokus seseorang adalah sama rata mengikut pertimbangan kami(mungkin topik ini memerlukan kajian yang lebih mendalam). Walau bagaimanapun, dapatan berbeza ditemukan dalam memori. Jika seorang pelajar diberikan 3 persembahan slaid Microsoft Powerpoint yang mempunyai 3 warna latar yang berbeza iaitu hijau, putih, dan biru,


warna yang mana satukah lebih mudah diingati semula?

Menurut McConnohie (1999) seperti dipetik daripada Mariam Adawiah dan Muhammad Faiz (2013), warna latar putih memberikan kesan positif yang paling tinggi terhadap memori kita. Ini bermaksud, kadar penyimpanan maklumat dalam memori kita paling tinggi apabila warna latar putih digunakan pada tulisan.

Walaupun tiada kaitan terus antara warna hijau dengan fokus pelajar, namun terdapat banyak kajian yang mengaitkan warna tersebut dengan pencapaian seseorang. Sebagai contoh, Kwallek, Woodson, dan Sales (1996) menemukan bahawa warna hijau dapat meningkatkan prestasi pekerja di dalam pejabat, manakala untuk para pelajar, University of Illinois at Urbana-Champaign (2016) menemukan bahawa prestasi pelajar dapat meningkat jika mereka melihat landskap hijau berbanding pelajar yang berada dalam bilik tertutup.

ADAKAH WARNA HIJAU DAPAT MEREHATKAN MATA

"Lihat benda hijau untuk merehatkan mata untuk setiap 30 minit kita membuat kerja", begitulah kata nasihat yang seringkali kita dengari. Apa yang terjadi apabila kita membaca sesuatu atau melihat apa-apa sahaja seperti skrin komputer pada jarak yang dekat, otot yang terlibat untuk memfokuskan pandangan akan terbeban dan melihat objek yang jauhlah yang sebenarnya merehatkan mata. 

Kesilapan "melihat benda hijau akan merehatkan mata" terhasil kerana selalunya apabila kita melihat objek yang berada jauh, objek tersebut akan cenderung untuk menjadi warna hijau, seperti hutan di bukit, padang, sawah padi, dan sebagainya. Kekeliruan ini seterusnya disampaikan dari mulut ke mulut dan menjadikan seolah-olah warna hijau mempunyai kuasa ajaib untuk merehatkan otot mata.

Kesimpulannya, warna hijau tidak mempunyai kuasa ajaib untuk merehatkan otot mata. 


RUJUKAN:
1. Koelsch, S., Boehlig, A., Hohenadel, M., Nitsche, I., Bauer, K., & Sack, U. (2016). The impact of acute stress on hormones and cytokines, and how their recovery is affected by music-evoked positive mood. Scientific Reports, 6, 23008. http://doi.org/10.1038/srep23008
2. Akers, A., Barton, J., Cossey, R., Gainsford, P., Griffin, M., and Micklewright, D. (2012). Visual color eprception in green exercise: Positive effects on mood and perceived exertion. Environmental Science and Technology, 46, 8661-8666.
3. McConnohie, B. V. (1999). Unpublished doctoral dissertation. Johnson Bible College, Florida.
4. Mariam Adawiah, Z. and Muhammad Faiz, M. (2013). The Influence of Colour on Memory Performance: A Review. The Malaysian Journal of Medical Sciences : MJMS, 20(2), 3–9.
5. Kwallek, N., Hoodson, W., Lewis, C. M., and Sales, C. (1999). Impact of three interior colour schemes on worker mood and performance relative to individual environmental sensitivity. COLOR Research and Application. 22 (2). 121-132. 
6. University of Illinois at Urbana-Champaign. (2016, January 22). A green view through a classroom window can improve students’ performance. ScienceDaily. Retrieved February 17, 2017 from www.sciencedaily.com/releases/2016/01/160122170932.htm

More

SEARCH

TESTIMONI

Creative Commons License
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International License.
Based on a work at http://www.arcx13.com.
Permissions beyond the scope of this license may be available at https://www.facebook.com/arcx13?ref=bookmarks. Dalam BM, korang tak boleh copy langsung melainkan ada kebenaran