Penyakit Gila Ketika Bulan Mengambang

Beberapa hari lepas, sekali lagi kami guru-guru dan pembantu di sekolah membincangkan soal kebajikan pelajar (walaupun secara tidak formal) tentang pelajar-pelajar tertentu yang tidak diketahui diagnosisnya. Untuk makluman pembaca semua, pelajar di pendidikan khas perlu mendapatkan kad OKU sebelum boleh diterima masuk ke dalam program pendidikan khas di sekolah-sekolah kerajaan yang menawarkan program tersebut dan dalam kandungan kadnya ada dilaporkan sama ada pelajar tersebut:
  • LD = Learning Disabilities , masalah pembelajaran
  • DE = Deaf, pekak
setidak-tidaknya inilah senario di tempat saya berkhidmat. Ada juga kategori lain yang akan dibincangkan dalam artikel di lain hari tetapi apa yang anda kena tahu ialah individu LD merangkumi mereka yang bermasalah autisme, ADHD, selective mutism (tahun ni ada seorang pelajar), Down Syndrome, dan lain-lain gangguan dalam DSM yang boleh mengganggu kefungsian hidup seseorang dan seterusnya menghalang individu tersebut daripada belajar secara normal dalam bilik darjah.

Dalam fail maklumat pelajar ini, ada terkandung surat pendaftaran dan pengesahan daripada pegawai perubatan bahawa pelajar tersebut telah didiagnosis sebagai sekian-sekian. Mungkin ada diperincikan tetapi fail saya yang tidak lengkap tetapi dalam fail pelajar, hanya dinyatakan pelajar tersebut berkategori LD tanpa ada spesifikasi sama ada autism, ADHD, dan sebagainya. 

Masa sebab itulah, dalam artikel kali ini, saya menulis tentang seorang pelajar yang tidak diektahui diagnosisnya. Jika pembaca masih ingat dalam artikel terdahulu bertajuk "Special Education Kids Whom I See Everyday", saya ada menceritakan tentang seorang pelajar yang apabila bulan mengambang, dia akan marah-marah pada semua orang. Marah, kena maki, ditunjuk jari tengah, dibaling batu dan diugut macam-macam adalah antara perkara yang dilakukannya.

Untuk menjaga privasi pelanggan, pelajar tersebut akan diberi nama N

Baru sahaja Jumaat yang lepas semasa kami menjalankan aktiviti di pusat sumber, N seorang sahaja yang duduk di luar sambil bercakap sorang-sorang. Baru sahaja keluar dari pintu, saya dibaling dengan seketul batu. Insiden ini lalu dibawa sebagai perbincangan ke dalam bilik guru sebagai perbincangan profesionalisme untuk kebaikan pelajar. Bukan untuk mengumpat ya

Jadi disebabkan sebelum ni kami memang diberitahu yang N memang akan buat perangai naik hantu dia apabila bulang mengambang jadi perbualan seperti yang berikut telah berlaku. Perbualan ini asalnya dalam dialek Sabah tapi telah diubahsuai untuk kesesuaian pembaca
A: Sekarang ni bulan tengah mengambang ke Z?
Z: Rasanya bukan. Kenapa kau tanya?
A: Sebab si N tu lah dia buat hal lagi. Baling batu tadi. Besar-besar pulak tu. Memang iya ke dia tu bila bulan mengambang je dia buat hal?
Z: Ye la tu orang cakap dia memang ada masalah kalau bulan mengambang. Mummy (bukan mak kandung, tapi penjaga) dia pun cakap macam tu.
A: Lah aku ingatkan korang main-main je cakap bulan mengambang. Ingatkan korang maksudkan dia datang bulan. Kebetulan memang dia tengah datang bulan tu kan
Alkisahnya, betulkah ada penyakit yang membuatkan sesetengah orang menjadi gila ketika bulan mengambang ni? Nampaknya macam ramai yang mendukung fahaman tersebut? Soalan yang sama juga ditanyakan di page Facebook Blog Psikologi. - Benarkah penyakit atau terma yang lebih sesuai, Gangguan Gila Semasa Bulan Mengambang ni wujud?

LITERATUR

Gangguan Semasa Bulan Mengambang dalam literatur-literatur yang terdapat di Google, juga dikenali sebagai "Lunar Effect" di mana keadaan bulan mengambang tu sendiri dipercayai mengubah kelakuan manusia. Ada yang mengatakan bahawa sinar yang datang daripada bulan tu yang memberi kesan kepada kulit manusia, mengganggu tidur lalu menyebabkan manusia mudah naik darah, dan sebagainya.

Tetapi, ingatlah. Walaupun sesuatu perkara tersebut ada muncul dalam hasil carian Google, tak bermaksud ia memang betul wujud. Kita juga ada baca tentang unicorn di internet tetapi tidak bermakna ia wujud

Pada zaman dulu memang ya perkara ini ada disebut seolah-olah seperti satu fenomena yang benar-benar terjadi. Teringat pula masa belajar Abnormal Psychology di universiti dulu pun pensyarah ada sentuh isu ini di mana Lunar Effect adalah sesuatu yang tidak logik dan tidak mempunyai asas saintifik mahupun statistik 

Sebenarnya, kes ini telah lama dibuat kajian ke atasnya. Sebuah kajian daripada Lieber dan Sherin (1972) telah memplot graf insiden kejadian kes bunuh dengan pergerakan fasa bulan di sebuah kawasan di Ohio, Amerika Syarikat. Dalam kajian tersebut, mereka menyimpulkan bahawa mungkin  Lunar Effect ni memang betul-betul wujud disebabkan berlakunya peningkatan signifikan dari segi statistik kes pembunuhan selepas berlakunya kejadian bulan mengambang. Dalam kajian yang sama, mereka juga menyimpulkan bahawa tidak ada kaitan langsung antara kedudukan bulan di daerah itu dengan bilangan kes membunuh.

KAJIAN BARU

Tiada yang pasti dalam dunia kajian terutamanya dalam psikologi. Terlampau panjang untuk diolah di sini dan mungkin akan diceritakan dalam topik lain. Disebabkan berlakunya banyak percanggahan pendapat, sebuah kajian dibuat pula oleh Owen, Tarantello, Jones, dan Tennant (1998). Dalam kajian yang lebih terperinci ini, semua fasa bulan direkodkan, dan definisi keganasan yang digunakan pun diperhalusi lagi supaya tiada masalah dengan data dan rekod. 

Kajian tersebut mendapati bahawa tiada kaitan antara pergerakan fasa bulan dengan peningkatan keganasan. 

KAITAN DENGAN PARASIT SEMASA BULAN MENGAMBANG
Ada yang berpendapat bahawa mungkin juga fenomena ini adalah disebabkan oleh kewujudan ulat atau parasit tertentu yang mengawal secara halus tindak tanduk ketika bulan mengambang. Ini adalah tidak benar sama sekali dan satu dakwaan yang tidak berasas. Selalunya hujah ini digunakan oleh penjual produk yang bukan sahaja menjual ubat-ubatan yang diragui, malah juga menjual nama agama demi memperdayakan pelanggan serta melariskan perniagaan

STATISTIK

Satu perkara yang anda perlu tahu tentang statstik yang digunakan ialah walaupun keputusan kaitan antara fasa bulan dengan kes bunuh adalah tidak signifikan, contohnya dalam 30 orang, hanya 7 yang membunuh ketika bulan mengambang, tetapi masih juga ada yang membunuh ketika itu. Mengapa?

Para saintis dan pengkaji berpendapat bahawa ini mungkin sekali disebabkan oleh Confirmation Bias dan Self-Fulfilling Prophecy. Sila klik untuk baca artikel tentang ini.

PENUTUP

Sebenarnya saya sendiri tak pasti apakah masalah yang dihadapi oleh Pelajar N. Bukan untuk melabel, tetapi jika kita tahu apa yang dihadapinya, maka terapi-terapi tertentu yang khusus bolehlah digunapakai untuk menangani masalahnya. Sekadar "ada masalah mental" bukanlah satu keputusan yang boleh memuaskan hati saya

Ada sesiapa yang mahu lontarkan pendapat di sini?

RUJUKAN:

Lieber, A. L. & Sherin, C. R. (1972). Homicides and the lunar cycle: Toward a theory of lunar influence on human emotional disturbance. American Journal of Pychiatry, 129 (1), 69-74

Owen, C., Tarantello, C., Jones, M., & Tennant, C. (1998). Lunar cycles and violent behaviour. Australian and New Zealand Journal of Psychiatry, 32, 496-499.

0 KOMEN DISINI:

Catat Ulasan

Komen yang nak diletakkan lepas 14 hari selepas entri tu diterbitkan, akan diletakkan dalam mod pengesahan terlebih dahulu untuk mengelakkan spamming

More

SEARCH

MESEJ RINGKAS

Creative Commons License
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International License.
Based on a work at http://www.arcx13.com.
Permissions beyond the scope of this license may be available at https://www.facebook.com/arcx13?ref=bookmarks. Dalam BM, korang tak boleh copy langsung melainkan ada kebenaran